Saturday, 9 June 2018

KENALI NORAINI AHMAD CALON KETUA WANITA UMNO MSIA

Calon Ketua Pergerakan 
Wanita UMNO Malaysia
Datuk Dr. Noraini Ahmad


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh & Salam Perjuangan buat semua pejuang wanita yang saya hormati.

Kasih mana orang baru
Kasih lagi orang lama

Sedih mana puan yang pergi
Sedih lagi kami yang puan tinggalkan

Terlebih dahulu saya nukilkan gurindam di atas, tanda kasih dan penghargaan  kepada YBhg Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di atas jasa dan pengorbanan beliau sepanjang menerajui Pergerakan Wanita UMNO. 

Sebagai tulang belakang parti, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak kesemua anggota Pergerakan Wanita UMNO untuk membina muafakat bersama bagi meneruskan perjuangan keramat membela bangsa dan bersedia memperbaiki setiap kelemahan parti agar kepercayaan rakyat kembali semula terhadap UMNO. 



Justeru, berbetulan dengan hari Jumaat, penghulu segala hari, saya dengan rasa rendah hati mengulangi iltizam saya menawarkan diri untuk bertanding bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia bagi penggal 2018-2021.  Saya menawarkan kepimpinan ini secara jujur dan ikhlas dengan hanya satu janji, iaitu bekerja keras memulihkan maruah UMNO yang telah dinafikan oleh rakyat dalam PRU-14. 

In shaa Allah berbekalkan pengalaman saya di akar umbi selama ini, bermula dengan menyantuni golongan wanita muda ketika memimpin Puteri UMNO, kemudiannya bersama Pergerakan Wanita UMNO, selaku Ketua Wanita UMNO Bahagian, Exco Wanita UMNO Malaysia dan Penolong Setiausaha Wanita BN Malaysia, disulami dengan pengalaman sebagai Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor selama 3 penggal serta diberi kepercayaan untuk mengetuai Ahli-ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP), saya berazam untuk memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman ini untuk meletakkan UMNO kembali di persada politik tanah air. 

Sekalung penghargaan saya kepada ahli-ahli Wanita yang berpengalaman dan gigih. Sesungguhnya khidmat bakti Ibu Terbaik Bangsa ini amat diperlukan di kala kita berhadapan dengan cabaran getir ini. Berbekalkan kata-kata #percaya, saya yakin kita akan berjaya mengharungi gelora ketidakpercayaan rakyat ini. 

Menyedari akan ada pertandingan bagi jawatan ini, saya mendoakan semoga pertandingan diadakan secara sihat dalam suasana sebuah keluarga besar parti dan pada akhirnya biar apapun keputusan, kita terima dengan hati terbuka dan kita harus kembali bersatu, merapatkan saf demi kelangsungan perjuangan UMNO. 

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya mohon sokongan padu pejuang-pejuang semua. 

Dr Noraini Ahmad
8 Jun 2018


Beliau dilahirkan pada 7 November 1967  di Batu Pahat. Beliau mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan Kuantitatif Analisis dan Kewangan, University of Saskatchewan, Kanada dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan di Universiti Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Beliau dilantik sebagai Naib Ketua Puteri UMNO, pada awal penubuhan Puteri UMNO dan kemudian dilantik sebagai Ketua Puteri UMNO sejak 2004, menggantikan Datuk Azalina Othman Said yang melepaskan jawatan kerana faktor umur keahlian Puteri UMNO hanya untuk wanita berumur bawah 40 tahun.

Facebook beliau
https://m.facebook.com/datonorainiahmad/


No comments:

Post a Comment